Khamis, 24 Oktober 2013

LEMAH KAWAL AIR KENCING

Masalah otot lantai pelvik lemah dalam kalangan wani­ta terutama golongan yang sudah berusia atau melahirkan ramai anak, membuatkan mereka sukar mengawal desakan untuk membuang air kecil hingga mengganggu kualiti kehidupan seharian.

Keadaan itu membuat­kan ramai yang mengalaminya sentiasa berasa bimbang dan terpaksa bergegas sekiranya keinginan ke tandas muncul kerana jika tidak, air kencing boleh mengalir tanpa dapat dikawal. 

Bukan saja keadaan itu menjejaskan kebersihan diri seseorang, ia juga merosakkan keyakinan diri dan kemung­kinan lebih suka me­ngasingkan diri daripada terbabit dengan aktiviti sosial kerana ketidakselesaan serta keyakinan diri yang pudar akibat masalah itu.
Malah, ada yang sentiasa mengambil tahu kedudukan tandas paling hampir supaya mudah untuk membuang air kecil apabila keadaan perlu atau gemar memakai kain gelap supaya titisan air kencing tidak begitu ketara. 


Masalah otot lantai pelvik yang lemah juga membuatkan seseorang itu akan terkucil setiap kali dia ketawa, batuk atau bersin. Ramai wanita yang mengalami gejala ini tidak mengetahui mereka sebenar­nya menghadapi masalah inkontines urinari atau pembuangan air kecil secara tidak terkawal.
Ia lebih dikenali sebagai kehilangan kawalan ke atas pundi kencing secara perlahan-lahan. Malah, ia satu isu global dan di Malaysia saja, kira-kira 1.2 juta penduduk terjejas akibat masalah itu.

Di seluruh dunia, inkontinens urinari masih menjadi salah satu daripada keadaan kesihatan tubuh yang paling kurang dilaporkan. Menurut laman web perubatan WebMD.com, kira-kira 20 peratus daripada wanita yang berusia lebih 40 tahun mengalami inkontinens urinari, tetapi hampir separuh daripada mereka menunggu selama lima tahun sebelum meminta bantuan.

Ramai wanita memilih untuk mengawal masalah itu dengan mengelakkan terjadinya detik yang memalukan kerana berpendapat keadaan itu sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dipulihkan.

Menurut perunding obstetrik dan ginekologi, Dr Mahes Sittampalam, anggapan salah, tetapi paling biasa mengenai masalah kawalan air kencing adalah ia sebahagian daripada proses penuaan.

Katanya, kenyataan itu tidak benar kerana ramai yang tidak menyedari masalah kawalan air kencing sebenarnya boleh dirawat serta dicegah dari awal dengan mengambil pendekatan yang betul.

“Wanita harus mendapatkan bantuan perubatan jika masalah inkontinens urinari menjejaskan kualiti hidup mereka. Selain daripada kesulitan yang dibawa, inkontinens juga mungkin gejala bagi pe­nyakit tersembunyi,” katanya.

Walaupun ia sebenar­nya boleh juga berlaku pada lelaki, wanita lebih cenderung untuk mengalami masalah inkontinens urinari disebabkan perubahan dalam badan mereka yang kemudian melemah­kan otot lantai pelvik.

Otot itu dan saraf di sekitarnya bertanggung­jawab untuk mengawal pelepasan air kencing daripada pundi kencing mung­kin menjadi lemah atau rosak akibat kehamilan, kelahiran anak, penurunan tahap estrogen darah semasa menopaus dan penuaan.

Ini mungkin menyebabkan sesetengah wanita mengalami kebocoran air kencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Apabila otot menjadi lebih lemah, sesetengah orang akan terasa sukar untuk me­ngawal pundi kencing apabila merasakan desakan untuk membuang air kecil.

Gejala itu kadangkala menjadi lebih teruk, malah boleh disumbangkan oleh ubat untuk tekanan darah tinggi, kemurungan dan insomnia. 


Kebaikan Kegel
Namun berita baik mereka yang mengalami masalah lemah lantai otot pelvik kerana ia boleh dikuatkan kembali melalui senaman Kegel. Senaman itu membabitkan pengesanan masalah otot, kemudian menguatkan kawasan itu dengan cara mengecutkan dan mengendurkan otot terbabit secara berulang kali.

Salah satu daripada cara yang biasa disarankan oleh doktor dan pakar fisioterapi adalah dengan menahan air kencing di pertengahan aliran, tetapi berbuat demikian terlalu kerap ketika pundi kencing penuh tidak digalakkan kerana penahanan air kencing akan meningkatkan risiko jangkitan urinari.

Sebaik otot yang lemah dapat dikesan, ulangan pergerakan kecut dan kendur boleh dilakukan sama ada ketika sedang berbaring, duduk atau berdiri.

Apabila otot yang betul dikecutkan dan dikendurkan secara kerap, secara beransur-ansur pundi kencing akan menjadi kuat dan lama-kelamaan kawalan pundi kencing akan menjadi lebih mudah.

Bagi yang tidak pasti sama ada senaman pada otot itu dilakukan dengan betul atau tidak, ada peranti yang menawarkan maklum balas untuk memberitahu pengguna bahawa mereka sedang mengecut­kan otot dengan cara yang betul.

Ia mungkin selamat bagi wanita yang ingin menguatkan otot pelvik mereka dalam persediaan untuk mengandung, melahirkan anak atau proses penuaan dengan mempelajari Kegel. Namun, pakar fisioterapi lazimnya akan menasihati wanita yang sudah menghadapi masalah inkontinens urinari untuk berunding dengan pakar profesional perubatan bagi mendapatkan panduan mengenai senaman itu kerana teknik yang salah boleh mengakibatkan keadaan menjadi lebih buruk.

Penting bagi wanita untuk menyedari masalah inkontinens urinari adalah gejala lazim yang dialami berjuta-juta wanita di seluruh dunia dan terdapat rawatan bagi kebanyakan kes.

Terdapat sejenis peranti iaitu Kegel Vibrance bertujuan membantu wanita mendapatkan manfaat yang maksimum daripada senaman Kegel dan menikmati kesihatan otot lantai pelvik yang optimum.

Ia mempunyai getaran bio-maklum balas unik yang hanya boleh dicetuskan apabila kumpulan otot yang betul bergerak. Getaran merangsang dinding otot lantai pelvik membantu pengguna merasai sensasi secara langsung pada kawasan senaman.

Dalam kertas kerja Dr Arnold Kegel mengenai senaman Kegel, beliau menyatakan senaman ketahanan terbukti sebagai cara paling berkesan dalam semua cabang terapi otot.

Peranti Kegel Vibrance dipatenkan di 18 negara iaitu Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, United Kingdom, Australia, Jepun, China, Singapura, Hong Kong, New Zealand, Malaysia dan Thailand. Ia juga pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Reka Bentuk Perubatan 2012 kerana keberkesanan dalam reka bentuk dan teknologi untuk senaman otot lantai pelvik.  

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/04 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright© All Rights Reserved JAMU SERI DEWI MALAM-AURA TERPESONA